My Blog List

Search This Blog

Pages

Wednesday, July 21, 2010

10 AMALAN YANG TERBALIK

Marilah kita bermuhasabah @ menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang2 kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut2 dgn budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik: -


1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah dimana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau2 mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?


2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.


3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik dirumah mahupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.


4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.


5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik2nya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.


6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?


7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.


8. Semua ibubapa amat bimbang kalau2 anak mereka gagal dalam peperiksaan. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya.Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih bimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat.


9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.


10.Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah.Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya,bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia.


Cukup dengan contoh2 di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita berada pada landasan dan ajaran Islam yg sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yg mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.
WallahhuAlam.

Merokok haram - Fatwa yang terus dilupakan

Di tepi kotak rokok tertera ayat peringatan ``Amaran Kerajaan Malaysia Merokok Membahayakan Kesihatan.'' Bersempena dengan penegasan Perdana Menteri tentang bahaya merokok ini adalah wajar juga para perokok diberi peringatan yang sama tentang pandangan Islam terhadap tabiat merokok.

Persoalan hukum merokok dalam Islam sering menjadi polemik para ulama antara hukum makruh dan haram. Namun demikian, hukum sunat dan harus terkeluar daripada perbincangan hukum mengenainya. Bagi perokok, mereka sebenarnya mengambil sikap eskapisme dengan mengatakannya sebagai satu perkara yang makruh kerana perbuatan yang makruh hanya dibenci oleh Allah s.w.t., tidak sampai kepada hukum haram atau berdosa di sisi Allah s.w.t. Namun demikian, perlu diingatkan bahawa hukum makruh dan haram itu adalah aksiologi negatif dalam perundangan Islam. Adakah wajar kita mengambil nilai negatif dalam menghalalkan rokok kepada diri kita?

Lebih malang, ada juga yang mengambil teori sekular egoisme untuk mewajarkan diri mereka untuk merokok. Kata mereka, merokok memberi kepuasan dan ketenangan diri, lagi pun mereka tidak mengacau atau mengganggu orang lain. Ada juga muda mudi yang beranggapan menghulurkan rokok kepada sahabat taulan sebagai budi yang baik dan bersifat pemurah. Namun secara hakikatnya apa jua hujah yang diutarakan oleh mereka, ia merupakan sejumlah alasan yang direka-reka akibat ketidakmampuan mereka membebaskan diri daripada ketagihan merokok akibat bahana nikotin dalam rokok.
Dari sudut sejarah merokok, ia boleh disingkap sehingga 4000 tahun dahulu. Para saintis mendedahkan bahawa penduduk tempatan di Mexico, Amerika Tengah dan Selatan mempunyai tabiat mengunyah tembakau. Kemudiannya, tembakau telah diperkenalkan di Eropah oleh Christopher Columbus yang menjejakkan kakinya di benua Amerika pada tahun 1492. Tabiat merokok berkembang pesat di Eropah terutamanya semasa Perang Crimean, Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Kilang rokok pertama wujud di London pada tahun 1880.

Bagi dunia Islam, tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah diperkenalkan secara menyeluruh oleh penjajah Barat yang beragama Kristian, dan ia belum pernah dikenali pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Pada umumnya umat Islam tidak merokok melainkan kerana terpengaruh dengan sogokan Barat yang menjajah mereka. Pada hari ini, merokok adalah suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat kita, sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu budaya yang elit dan membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila golongan yang mudah terpedaya dengan budaya asing, terutamanya yang dipaparkan melalui iklan-iklan media massa pada suatu masa dahulu, ingin pula bergaya demi mencapai status keunggulan yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat merokok, suka meniru dan menyeleweng dari jalan yang benar adalah sesuatu yang kian menguasai anak-anak remaja kita tidak kira lelaki mahupun perempuan dewasa ini.


Kemudaratan

Rentetan daripada bahaya dan kemudaratan yang ditimbulkan oleh tabiat merokok ini, maka pada 23 Mac 1995, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 telah memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram menurut pandangan Islam. Fatwa ini disokong oleh beberapa pertubuhan termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Setelah tujuh tahun lebih fatwa ini diputuskan, didapati reaksi masyarakat Malaysia khususnya muda-mudi Islam seolah-olah tidak menghiraukan langsung fatwa tersebut. Semakin hari fatwa tersebut semakin dilupakan oleh masyarakat Islam sendiri.

Secara umumnya, para ulama mengharamkan rokok dengan bersandarkan kepada hujah-hujah bahawa merokok boleh mengakibatkan kerosakan kepada agama, kesihatan, alam sekitar, kewangan dan sebagainya. Rasulullah s.a.w. bersabda : Sesiapa yang memakan bawang putih dan bawang merah, maka jauhilah daripada kami dan masjid dan tinggallah di rumah. Ini kerana, para malaikat terganggu dengan perkara yang menyebabkan manusia rasa terganggu. (Riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis di atas boleh disandarkan kepada akibat merokok yang menyebabkan nafas perokok berbau busuk dan mengganggu bukan sahaja manusia biasa tetapi juga para malaikat. Jadi, merokok memberi kesan buruk kepada hubungan interaksi manusia. Mereka yang suka merokok di dalam rumah akan menyebabkan malaikat rahmat tidak tinggal di dalam rumahnya.

Selain itu juga, kita dapat melihat perokok selalunya amat sukar untuk melakukan ibadah puasa. Ini adalah kerana ketagihan rokok yang sukar ditinggalkan. Mereka mampu untuk tidak minum dan makan tetapi gagal untuk tidak merokok. Kalau pun ia mampu berpuasa penuh dengan tidak merokok, kebanyakan mereka akan berbuka puasa dengan merokok dahulu daripada memilih sunah nabi menjamah buah tamar. Jelas sekali tabiat merokok memberi kesan negatif kepada amalan keagamaan seseorang dengan memandu nafsu supaya meninggalkan yang sunat dan mengejar yang haram. Apa yang lebih ditakuti ialah merokok mungkin boleh menjadi titik tolak kepada ketagihan dadah, ganja dan seumpamanya.

Selain itu, secara jelas merokok membawa kesan buruk kepada tubuh badan. Merokok dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti kanser, jantung, paru-paru dan sebagainya. Kajian sains telah membuktikan bahawa setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium -201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di `kamar gas maut' bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimana pun, racun yang paling penting adalah tar, nikotin dan karbon monoksida.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bilangan kematian tahunan akibat merokok di seluruh dunia telah bertambah daripada 1 juta dalam pertengahan tahun 1960an kepada 3 juta sekarang. Jumlah ini dianggarkan meningkat lagi kepada 10 juta setahun menjelang tahun 2020. Jumlah kematian yang dianggarkan ini hampir menyamai jumlah kematian orang awam dalam Perang Dunia Pertama.
Bahaya merokok bukan hanya membabitkan negara-negara Barat sahaja, malah kian mengancam dan menjadi masalah kesihatan yang paling utama di negara-negara membangun, termasuk di Malaysia. Kesedaran tentang bahaya merokok semakin meningkat di Barat sehingga menyebabkan peratusan perokok semakin menurun. Namun sebaliknya berlaku di Malaysia, peratusan perokok semakin meningkat akibat kurangnya kesedaran dan kempen-kempen anti merokok.

Selain itu, ajaran Islam secara jelas mengharamkan manusia daripada memusnahkan diri sendiri atau orang lain. Islam melarang kita melakukan sesuatu yang boleh merosakkan kesihatan kita dan yang boleh mengancam kehidupan kita. Apa saja yang dimasukkan ke dalam tubuh dan urat saraf kita hendaklah yang baik, bersih dan yang menjamin keselamatan jasmani, akal dan rohani kita. Firman Allah s.w.t.: Allah menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka yang buruk-buruk. (Al-A'raf : 157). Selain itu, Allah s.w.t. juga berfirman : Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan. (Al-Baqarah : 195)

Mengganggu

Rasulullah s.a.w. juga bersabda : Seseorang yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat tidak akan menyakiti hati jirannya. (Riwayat Bukhari). Tabiat merokok kadang kala turut mengganggu dan menyakiti hati orang di sekelilingnya. Kepulan asap yang dihembuskan perokok menyebabkan orang di sekitarnya merasa tidak selesa dan lemas. Alam sekitar yang terjejas juga merupakan pengkhianatan amanah Allah kepada umat manusia untuk memelihara alam dengan baik. Kitab suci al-Quran berulang kali menegaskan agar manusia menjaga keseimbangan alam dan melarang manusia merosakkan alam sekitar sebagaimana firman Allah s.w.t. : Dan langit dijadikannya (membumbung) tinggi, serta Dia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan. Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan. (Ar-Rahman : 7-8)

Di samping itu, merokok diharamkan kerana ia merupakan suatu aktiviti yang jelas mendatangkan pembaziran kewangan. Bagi mereka yang menghisap sekotak rokok sehari yang harganya RM5, ia terpaksa membelanjakan sejumlah RM150 sebulan dan RM1,800 setahun dan sejumlah RM18,000 bagi sepuluh tahun. Jumlah besar tersebut sudah tentu dapat dimanfaatkan pada perkara yang lebih memberikan faedah kepada diri perokok dan keluarganya. Firman Allah s.w.t.: Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (Al-Isra' : 27). Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Allah membenci tiga perkara iaitu mengumpat, berjudi dan membazirkan wang. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Selain itu, kebanyakan syarikat pengeluar rokok adalah kepunyaan Yahudi. Membeli rokok secara tidak langsung akan menyumbang kekayaan kepada bangsa Yahudi yang sering ingin menghancurkan umat Islam. Seandainya segelintir di antara kita berasa sensitif untuk tidak ke Kentucky Fried Chicken dan Mc Donald tatkala bumi Iraq di serang Amerika Syarikat, kenapa tidak kita mengambil langkah untuk berhenti menghisap rokok yang dibuat oleh syarikat-syarikat Yahudi Amerika Syarikat?
Selain itu juga, Muhammad al-Jibaly mengatakan bahawa merokok merupakan perbuatan yang hampir sama dengan orang yang berada di dalam api neraka, yang meminum dari mata air yang panas menggelegak dan memakan makanan dari pokok-pokok yang berduri sebagaimana yang dinyatakan di dalam Surah al-Gasiyah : 5-6.

Berdasarkan kepada sebab-sebab dan hujah-hujah yang dinyatakan, mudah-mudahan para perokok menjadikan sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia ini sebagai titik tolak untuk menghentikan tabiat merokok. Tanamlah keazaman yang tinggi dalam diri untuk membuang tabiat buruk merokok. Banyak cara yang boleh diusahakan untuk membuang tabiat merokok.
Ingatlah orang yang mahu kebaikan itu akan mencari jalan, manakala sebaliknya mereka yang cenderung ke arah keburukan itu akan hanya mencari alasan. Marilah kita sama-sama menghormati fatwa kebangsaan yang telah memutuskan bahawa menghisap rokok itu adalah HARAM di sisi pandangan Islam.